Drama arahan Erma Fatima hasil lakonan pelakon popular Fazura, Shahz
Jaszle & Fauziah Gous mula mendapat tentangan daripada sebuah
kumpulan fanpage.
Fanpage Facebook, “
Kami Bantah Tayangan Perdana Tahajjud Cinta”
telah diwujudkan dengan jumlah penyokong sekitar 600 orang (buat masa
ini). Motif penubuhan fanpage berkenaan dikatakan, “membantah jalan
cerita dan gaya lakonan yang jelas menghina muslimat yang berpurdah.”
“Kami masih lagi membuka ruang untuk komen dan kritikan membina
terhadap drama Tahajud Cinta. Kita bukan mahu menjatuhkan industri
filem, malah mahu industri ini berkembang selari dengan kehendak Islam.
Islam itukan syumul,” kata admin Fanpage berkenaan melalui statusnya.
Ada pendapat yang sensitif dengan penayangan Tahajjud Cinta kerana dipercayai menjatuhkan institusi pendidikan sekolah pondok.
Seorang penyokong Fanpage bernama Muhamad Nazri berkata, “Dalam
cerita Tahajjud Cinta ini ingin menyampaikan mesej bahawa orang yang
mengajar di pondok adalah orang yang jahil agamanya & bersikap
jahat, dan orang yang belajar diluar negara itu adalah orang yang baik
belaka… ini akan menjatuhkan istitusi pondok.”
Namun, ada yang menyokong penayangan Tahajjud Cinta dengan memberikan pendapat yang lebih terbuka.
“Watak tak semua perlu sempurna untuk sesebuah drama. Ada
sebabnya diletakkan begitu supaya ada pengajaran yang mahu ditunjukkan.
Itu lebih kepada realiti kehidupan kita sebenar. Bertudung tapi..
seorang ustaz tapi.. kemudian berubah. Itu realiti. kita tidak mahu
tengok watak yang sempurna saja dalam drama. Drama yang mencabar
mentaliti orang yang menontonnya lebih bagus! itu namanya drama, ”
kata Desyntha Desy di Fanpage berkenaan.
Setakat ini, ada cadangan untuk mengutarakan aduan kepada pihak Media
Prima atas penayangan drama tersebut. OHBULAN! akan menghubungi pihak
Media Prima untuk mengesahkan penerimaan aduan tersebut nanti.
Info : Tahajjud Cinta ditayangkan setiap hari Jumaat, jam 9 malam di TV3.