|
NORMAN Hakim (dua dari kanan) dan Memey Suhaiza (kiri) bersama Jimmy Choo dan Winnie Sin (kanan) menunjukkan kasut dan barangan tajaan sempena majlis perkahwinan pasangan selebriti itu pada 28 September ini di Kuala Lumpur, semalam.
|
KUALA LUMPUR 22 Julai - Sebanyak RM12 juta diperuntukan untuk kos
keseluruhan majlis perkahwinan Norman Hakim dan Memey Suhaiza Suhaimi
yang akan berlangsung di Nirwana Ballroom, Hotel Crowne Plaza Mutiara di
sini pada 28 September ini.
Kos tersebut termasuk barang kemas yang diinsuranskan dan juga hiasan
dewan yang menampilkan persandingan ala New York rekaan khas perunding
perkahwinan, Nas Great Idea melibatkan kos sebanyak RM150,000.
Menurut wakil Rafflesia The Pearl Centre, Bill Bora, hiasan dewan
yang menampilkan konsep warna putih itu bakal dipenuhi dengan
bunga-bunga segar yang diimport.
"Sebanyak tujuh lori bunga- bunga segar akan digunakan untuk
menghiasi dewan. Konsep yang ditampilkan berbeza daripada apa yang
pernah dilakukan oleh Nas Great Idea sebelum ini.
"Malah di dalam dewan itu kelak akan didirikan empat karusel yang
dihiasi dengan set sofa dan di tengahnya terdapat pelamin. Majlis pada
malam itu khas untuk rakan-rakan selebriti dan media," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada majlis memperkenalkan penaja-penaja
untuk acara resepsi Norman dan Memey yang diadakan di Hotel Crowne Plaza
Mutiara di sini, hari ini.
Turut hadir, antaranya, pereka kasut ternama, Prof. Datuk Jimmy Choo
dan Pengarah Urusan Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin, yang
merupakan penaja utama majlis resepsi Norman dan Memey.
Bill dalam satu kenyataan kepada
Utusan Malaysia semalam,
berkata, Memey, 23, akan memakai gaun bertatah mutiara lengkap dengan
set barang kemas dan kasut yang kesemuanya bernilai RM7.2 juta.
Bakal isteri Norman itu akan memakai dua persalinan iaitu setiap satu
bernilai RM500,000 untuk majlis persandingan dan acara memotong kek.
Selain dua persalinan yang ditaburi mutiara mengikut gred, Memey juga
akan mengenakan dua set barang kemas bernilai RM2.8 juta setiap satu
merangkumi anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara untuk
dipadankan dengan pakaian tersebut.
Sementara itu, dua pasang kasut yang direka khas oleh Jimmy mengikut
kesesuaian pakaian dan hiasan barang kemas yang bakal dipakai oleh Memey
dianggarkan bernilai RM300,000 sepasang.
Menurut Bill, majlis perkahwinan yang bakal mencatat sejarah sebagai
Wedding of The Year itu dijangka dihadiri 200 tetamu termasuk artis luar negara.
"Kami turut mengundang artis luar negara sebagai tetamu dan empat
artis tempatan akan dipilih sebagai pengapit pengantin, iaitu dua lelaki
dan dua perempuan," katanya.
Sementara itu, Norman dan Memey menganggap apa yang dilakukan oleh
Rafflesia The Pearl Centre adalah diluar jangkauan dan tidak pernah
diimpikan oleh mereka.
Menurut Norman, 35, mereka dihubungi oleh Bill tiga minggu lalu untuk membincangkan hal tersebut.
"Bagi saya majlis yang diatur ibarat perkahwinan di alam kayangan.
Apa yang dilakukan oleh pihak Rafflesia dan penaja lain adalah di luar
jangkaan. Tidak sangka ia begitu meriah sekali.
"Mungkin ini adalah rezeki daripada Allah setelah saya dan Memey
diuji dengan pelbagai dugaan. Tidak sangka apa yang berlaku ke atas kami
selama ini ada hikmahnya," kata Norman.
Giler ahhh...nk kawen kea ape nih...