KOTA KINABALU: Dua pelacur tempatan dipercayai sedang asyik melakukan hubungan seks bersama pasangan masing-masing tidak sempat mengenakan pakaian dan lari lintang pukang dalam keadaan separuh bogel apabila diserbu polis di sebuah pangsapuri di Api-Api Centre, di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, dua gadis berusia 20 dan 26 tahun berjaya ditahan apabila polis sudah mengepung kawasan berkenaan yang dikesan menjadi lokasi kegiatan aktiviti pelacuran.
Dalam serbuan jam 2.30 pagi, sepasukan polis Cawangan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut menahan pasangan gadis itu di rumah berkenaan.
Pemeriksaan di rumah itu turut menemui kondom yang masih belum digunakan dan dirampas termasuk dua telefon bimbit.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, berkata susulan serbuan itu, polis berjaya menahan seorang wanita berusia 38 tahun dipercayai bertindak sebagai ibu ayam.
“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis melakukan intipan sebelum menyerbu sebuah rumah di pangsapuri terbabit.
“Ketika serbuan, dua gadis dipercayai sedang leka melakukan hubungan seks bersama pasangan masing-masing di dalam bilik berasingan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.