BAITULMAQDIS – Israel akhirnya mengakui bahawa dalam tahun
1990-an, anggota-anggota forensiknya mengambil organ manusia termasuk
jenazah penduduk Palestin tanpa kebenaran keluarga mereka.
Isu kontroversi tersebut ditimbulkan berikutan pendedahan media
berhubung satu wawancara dengan bekas ketua Institut Forensik Abu Kabir
di Israel, Dr. Jehuda Hiss.
Wawancara itu dilakukan pada 2000 oleh seorang ahli akademik Amerika Syarikat (AS) yang kemudian mendedahkannya kepada media.
Dia berbuat demikian untuk menyokong dakwaan sebuah akhbar Sweden
yang melaporkan pada musim panas lalu bahawa tentera Israel membunuh
penduduk Palestin untuk mengambil organ mereka.
Israel sebelum ini bermati-matian menafikan melakukan pembunuhan tidak berperikemanusiaan itu.
“Kami bermula dengan mengambil kornea mata mereka. Apa yang kami
lakukan tidak didedahkan dan tanpa kebenaran keluarga mereka (penduduk
Palestin),” kata Hiss.
Laporan sebuah stesen penyiaran Internet, Channel 2 menyatakan,
pakar-pakar forensik di Abu Kabir mengambil kulit, kornea, injap
jantung dan tulang mayat askar Israel, warga Israel dan jenazah
penduduk Palestin dan mayat pekerja asing tanpa kebenaran saudara mara
mereka.Dalam maklum balas mengenai laporan saluran berita itu, tentera
Israel mengaku perbuatan tersebut berlaku.
“Aktiviti itu berakhir sedekad lalu dan ia tidak diteruskan,” kata satu kenyataan tentera Yahudi. – AP