WARGA Arab yang ada di Malaysia biasanya menjadi pelajar dan terlibat dalam perniagaan dan bukan jenayah.SERDANG – Sikap peramah dan ringan tulang rakyat Malaysia untuk
membantu membuatkan banyak rakyat dari benua Asia Barat jatuh cinta
dengan negara ini.
Malah, ramai di kalangan warga luar terutama dari negara-negara Arab
bersahabat baik dengan penduduk tempatan kerana sikap saling memahami
selain daripada rasa hormat yang mendalam mereka terhadap rakyat negara
ini.
Seorang pelajar dari Yemen, Dhaif Allah Musaeed Dhaif Allah, 22,
berkata, kewujudan pelbagai peluang pekerjaan dan pelajaran turut
menarik minat mereka lantas memilih untuk menjadikan Malaysia sebagai
rumah kedua mereka.
Justeru, katanya, tidak hairan kenapa jumlah warga Arab semakin masa semakin bertambah dari tahun ke tahun.
“Kami bukan mahu menimbulkan masalah di negara ini tetapi hanya mahu
berkawan dengan semua orang. Ia terbukti kerana majoriti warga Arab
yang tinggal di sini mampu hidup bersama penduduk tempatan.
“Saya berharap orang ramai tidak berpandangan serong terhadap kami
kerana kami hanya mahu menjalani kehidupan yang tenang bersama semua
orang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan mengenai kebanjiran warga Arab di
kawasan sekitar Plaza South City berhampiran Persiaran Serdang Perdana
di sini.
Bukan hanya penempatan seperti kondominium sahaja dikuasai oleh
mereka malah premis perniagaan termasuk restoran dan beberapa premis
lain turut dikuasai warga asing dari Asia Barat itu.
SUMBER : KOSMO