Guest Guest
| Subject: Penyamun masuk kelambu Fri Jan 06, 2012 3:49 am | |
|
ALOR SETAR - Seorang warga emas, yang sedang nyenyak tidur terkejut apabila dibangunkan isterinya yang memberitahu ternampak kelibat orang di luar kelambu bilik mereka, dalam kejadian samun, di sini, kira-kira jam 4 pagi, semalam. Shuid Ahmad, 66, berkata, semasa kejadian samun itu, dia hanya tinggal berdua bersama isterinya, Maimunah Lat, 61, di rumah. Menurutnya, sebaik terlihat kelibat penyamun itu, dia terus menjerit meminta tolong sebelum diserbu empat penyamun ke dalam kelambu mereka. “Penyamun itu kemudiannya meminta kami diam dan mengacukan parang ke leher saya. Tangan dan kaki kami diikat sementara mulut disumbat dengan kain. “Mereka memakai topeng dan dua daripadanya bersenjatakan parang. Mereka turut menggeledah almari, laci dan seluruh bilik bagi mencari barang berharga,” katanya. Shuid, yang juga Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) berkata, penyamun itu berjaya menemui barang kemas yang disimpan isterinya. Menurutnya, seorang daripada mereka kembali mengacukan parang ke lehernya dan bertanya kepadanya lokasi dia menyimpan barang berharga lain dan wang tunai. “Kerana ketakutan, saya memberitahu lokasi saya menyimpan wang tunai dan kemudiannya seorang penyamun pergi mendapatkannya, namun tidak berjaya. “Penyamun itu kembali mengacukan parang di leher dan bertanyakan sekali lagi lokasi tersebut kerana mereka gagal mencarinya. Saya memberitahu dan menunjukkan laci tempat menyimpan dompet saya dan mereka terus menggeledah laci terbabit,” katanya. Shuid berkata, mereka berdua yang diikat ditinggalkan di dalam bilik dan terdengar sebuah kenderaan berhenti di hadapan rumah dipercayai digunakan penyamun untuk melarikan diri. Sejurus itu katanya, mereka cuba meleraikan ikatan tangan dan kaki sebelum ke rumah jiran untuk meminta pertolongan. “Ketika itu jam menunjukkan 4.45 pagi dan saya dapati penyamun itu masuk ke rumah melalui pintu belakang rumah yang dipecahkan. “Kami hanya tinggal berdua di rumah dan tidak mendengar apa-apa bunyi sebelum melihat kelibat mereka di luar kelambu di bilik tidur kami di tingkat atas,” katanya. Shuid membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan pagi semalam dan anggaran kerugian RM48,000 termasuk wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit. Bagaimanapun, Shuid berkata, dia bersyukur kerana dia dan isteri tidak dicederakan penyamun semasa kejadian. Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Ismail Abu ketika dihubungi mengesahkan laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. “Polis melakukan siasatan di lokasi kejadian dan setakat ini polis sedang mengesan penyamun terbabit. Masih tiada tangkapan dilakukan setakat ini (semalam),” katanya.
sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/...elambu-1.16558
|
|