KONTROVERSI baharu menyelubungi kem pasukan Terengganu.
Semuanya gara-gara kekeliruan yang timbul ekoran surat pekeliling
yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertarikh 23
Disember lalu.
Menurut surat tersebut yang ditandatangani Setiausaha Agung FAM,
Datuk Azzuddin Ahmad itu, FAM telah menyatakan syarat-syarat pemain
asing dari pasukan Kelantan dan Terengganu yang akan bermain dalam Liga
Malaysia (Liga M) 2012.
Antara lain isi kandungan surat itu secara jelas menyatakan
‘Senarai pemain-pemain asing untuk didaftarkan dalam Liga M 2012
hendaklah dikemukakan kepada FAM sebelum atau pada pukul 12 tengah hari
Jumaat 6 Januari 2012 bagi pasukan Kelantan dan bagi pasukan Terengganu
ialah sebelum atau pada pukul 12 tengah hari Isnin, 9 Januari 2012.
Percaya dengan isi kandungan surat berkenaan, Persatuan Bola Sepak
Negeri Terengganu (PBSNT) kemudian telah mendapatkan dua khidmat pemain
import baharu iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva
Santos Carnietto dari Brazil.
Namun, kekeliruan mula timbul apabila Azzuddin mengesahkan yang dua
pemain asing itu sebenarnya tidak layak untuk beraksi dalam Liga M
sebaliknya hanya boleh diturunkan dalam kempen Piala Konfederasi Bola
Sepak Asia (AFC).
Andai kenyataan Azzuddin itu benar, maka Terengganu yang juga juara
Piala FA dan naib juara Piala Malaysia musim lalu bakal beraksi dalam
kempen Liga M musim ini tanpa seorang pun pemain import.
Situasi itu sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati kelab-kelab
penyokong bola sepak Terengganu yang menganggap FAM sebagai tidak
profesional dalam melaksanakan dasarnya.
Presiden Kelab Penyokong Terengganu FC, Hazrul Hanafi berkata, apa
yang dialami Terengganu kini adalah sesuatu yang sukar apabila mereka
berdepan kemungkinan tidak dapat menggunakan pemain import dalam Liga M.
“Saya sendiri tidak tahu siapa yang bersalah dalam isu ini kerana
PBSNT mendapatkan khidmat Doe dan Carnietto selepas merujuk kepada
surat pekeliling yang dikeluarkan FAM.
“Dalam surat itu cukup jelas menyatakan yang Terengganu boleh
mendaftarkan pemain asing bagi kempen Liga M, “jelasnya kepada Kosmo!
semalam.
Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh), Wan Mohd.
Azmi Wan Ngah pula mahu FAM bersikap lebih profesional dalam
menyelesaikan isu berkenaan.
Katanya, sebagai sebuah persatuan besar di negara ini, FAM
sebenarnya sudah sedia maklum dengan setiap surat pekeliling yang
dikeluarkan kepada persatuan negeri.
Dalam surat itu langsung tidak menyatakan ia adalah untuk
pendaftaran pemain asing bagi perlawanan Piala AFC, sebaliknya jelas
tertulis untuk Liga M 2012,” ujarnya.