Luis Suarez mohon maafLONDON - Penyerang Liverpool, Luis Suarez (gambar) akhirnya memohon
maaf semalam selepas digantung lapan perlawanan kerana melemparkan
kata- kata berbaur perkauman kepada pemain pertahanan Manchester
United, Patrice Evra.
Jurucakap Liverpool berkata, tiga hari lalu mereka telah menerima
penggantungan Suarez kerana memanggil Evra dengan gelaran 'negro'.
Bagaimanapun pada hari yang sama, penyerang sensasi Uruguay itu tetap dengan pendirian bahawa dia tidak bersalah.
Namun, Suarez sekali lagi memohon maaf sekiranya tindakan itu menyinggung perasaan orang lain.
"Saya tidak pernah menggunakan perkataan tersebut dengan maksud
untuk menghina seseorang. Jadi, jika ada individu yang tersinggung,
saya memohon maaf.
"Saya juga telah memberitahu ahli panel bebas bahawa saya tidak akan
menggunakan perkataan tersebut dalam perlawanan bola sepak di England,"
tambahnya.
Suarez menerima hukuman penggantungan pertamanya pada Selasa lalu yang berkesudahan Liverpool tewas 0-3 kepada Manchester City.
Sebelum ini, ketika laporan setebal 115 muka surat dikeluarkan,
panel bebas Persatuan Bola Sepak (FA) England menyatakan, Suarez telah
memberikan kenyataan yang 'sukar untuk dipercayai' dan 'tidak
konsisten', yang mana penjelasannya agak 'luar biasa' ketika
perbicaraan berlangsung.
Namun, Liverpool turut mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan
tuduhan yang dikenakan ke atas Suarez kerana sekiranya berdasarkan pada
dakwaan yang akhir, ia agak subjektif dan tidak berasas.
"Akhir-akhir ini, isu tersebut telah diperbesar-besarkan dan
disebabkan perkara itu, kita tidak tahu sama ada Suarez dilayan dengan
adil oleh FA England," katanya.
Sebelum ini, Suarez turut menegaskan yang dia tidak melakukan sebarang kesalahan.
"Saya berasa kecewa dengan apa yang telah diperkatakan mengenai diri
saya pada minggu lalu, segalanya terpesong daripada kebenaran." - AFP