KUALA LUMPUR: Luluh hati
seorang ibu selepas mendapat tahu anak perempuannya yang berusia
sembilan tahun dicabul bapa mentuanya sejak beberapa hari lalu.
Sumber polis berkata, kejadian itu terbongkar selepas ibu mangsa yang
bekerja sebagai eksekutif jualan membawa anaknya untuk membuat
pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik swasta selepas kanak-kanak itu
mengadu sakit perut, kelmarin.
Bagaimanapun, ketika menunggu untuk menerima rawatan, mangsa mula menangis.
“Ketika cuba ditenteramkan, kanak-kanak itu mengadu dicabul datuknya
ketika berada di rumah lelaki itu dan terkejut dengan penjelasan itu,
ibu mangsa memaksa anaknya itu menceritakan lebih lanjut mengenai
tindakan tidak berperikemanusiaan warga emas itu,” katanya.
Sumber berkata, warga emas gila seks itu juga merakam gambar kemaluan
cucu perempuannya itu dan disimpan di dalam telefon bimbit selain
mengugut kanak-kanak itu untuk tidak menceritakan kejadian itu kepada
sesiapa.
Sebagai tindakan susulan, wanita itu membawa anaknya ke Pusat Perubatan
Universiti Malaya (PPUM) untuk pemeriksaan lanjut dan sebelum membuat
laporan di Balai Polis Pantai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan
Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan mengenai
kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.