Guest Guest
| Subject: Penyanyi Baru , Diandra Arjunaidi Bukan Anak Didik Yuna Sat Jan 07, 2012 3:52 am | |
|
Diandra Arjunaidi adalah pendatang baru dalam dunia muzik tempatan. Gadis berusia 20 tahun ini cukup bertuah kerana menjadi artis pertama bernaung di bawah Yuna Room Records. Bagaimanapun, gadis ini tidak mahu dibayangi Yuna walaupun cara nyanyian mereka punya sedikit persamaan.
“Saya tahu ada yang berpendapat muzik dan cara nyanyian saya sama seperti Yuna. Tapi, saya tidak setuju dengan tanggapan itu. Saya adalah saya. Muzik kami berbeza. Namun, sebagai orang baru saya tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang negatif. Sebaliknya, ia satu penghargaan. Lama kelamaan, orang akan faham juga dengan muzik saya.
Saya bersyukur kerana Yuna percaya dengan bakat yang saya miliki. Semua lagu yang dimuatkan dalam album pertama itu adalah gubahan dan tulisan saya sendiri. Saya mula buat lagu sejak di zaman sekolah lagi iaitu dari tahun 2005,” ujar Diandra yang melancarkan album sulungnya bersama Yuna di Holding Room, Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Rabu lalu.
Dalam masa yang sama, Diandra juga tidak setuju jika ada pihak yang mengatakan dia menumpang populariti Yuna. Jelas penyanyi berdarah kacukan ini, bukan dia yang mencari Yuna, tetapi Yuna yang datang kepadanya untuk mengambilnya sebagai artis naungan.
“Sebenarnya saya sudah dua tahun lebih terlibat dengan persembahan gig. Yuna jumpa saya pun ketika saya sedang buat satu persembahan. Kalau orang kata saya ingin menumpang populariti Yuna, saya tidak setuju kerana bukan saya yang mencari Yuna. Tapi saya tidak nafikan melalui Yuna saya mungkin berpeluang untuk pergi lebih jauh. Walau apa pun, saya mahu dapatkan keyakinan peminat muzik Malaysia dahulu. Kemudian barulah kembangkan ke tempat-tempat lain. Mungkin boleh bermula dengan Singapura dan Indonesia dulu,” ujar Diandra lagi.
Sementara itu, Yuna turut menegaskan dia dan Diandra tidak punya persamaan. Malah, Yuna juga menafikan Diandra adalah anak didiknya.
“Saya langsung tidak terlibat dengan pembikinan album Diandra. Semua lagu yang ada dalam album Diandra adalah ciptaan dia sendiri. Lagu-lagu itu sudah dirakamkan sebelum saya mengambil dia menjadi artis lagi. Sebab utama saya ambil dia jadi artis adalah kerana dia punya bakat istimewa dan sayang kalau bakat itu diberi peluang untuk pergi lebih jauh.
Apabila saya lihat Diandra, saya seolah-olah melihat diri saya ketika mula-mula hendak bergiat dalam bidang muzik. Ketika itu saya masih tercari-cari dan tidak tahu bagaimana cara yang betul untuk memperkenalkan karya saya. Saya faham dengan situasi dia. Sayang kalau bakat dia disia-siakan begitu sahaja. Harap peminat boleh menerima muzik Diandra dengan baik,” ujar Yuna.
Album pertama Diandra menggunakan judul namanya sendiri dan ia memuatkan enam lagu Inggeris dan sebuah lagu berbahasa Melayu berjudul Angkasa. Pada Ahad ini (8 Januari), Diandra akan mengadakan satu showsace bersempena dengan pelancaran albumnya itu. Showcase yang dinamakan Angkasa’s Showcase itu akan diadakan di Actor Studio, Lot 10, Bukit Bintang bermula jam 4.00 petang. Tiket-tiket berharga RM38 boleh didapati di lokasi acara.
|
|