Kumpulan adik beradik, KRU, iaitu Norman Abdul Halim, Yusry dan Edry, membuat keputusan muktamad untuk tidak lagi mengadakan pertunjukan pentas selepas 19 tahun terlibat dalam dunia seni.
Menurut abang sulungnya Norman, keputusan itu dibuat kerana mereka merasakan tibalah masanya untuk memberi peluang kepada artis-artis baru lain menonjol selain terpaksa memberi tumpuan kepada bidang perniagaan.
"Nak ikutkan memang dah lama kami berhenti daripada membuat persembahan, cuma ini adalah pengumuman secara rasmi daripada kami.
"Keputusan ini juga dibuat kerana kami ingin memberi ruang kepada penyanyi-penyanyi baru pula dan kami sebagai orang lama, akan membantu mereka untuk sama-sama memperjuangkan industri muzik tempatan," katanya.
Selain itu kata Edry pula, dengan kesibukan mengendalikan syarikat KRU Studios, mereka juga tidak mampu lagi mengadakan konsert-konsert jelajah seperti yang pernah dilakukan dahulu.
"Justeru itu jika dahulu kami perjuangkan untuk KRU dan keluarga, kini sudah tiba masanya kami berbakti memperjuangkan industri seni demi masyarakat pula berdasarkan pengalaman yang ada," ujar Edry.
Tambah Edry, walaupun tidak lagi mengadakan persembahan pentas, KRU tetap akan mengeluarkan single lagu terbaru pada masa akan datang.