KUALA LUMPUR – Durian Raja Kunyit atau lebih dikenali sebagai Musang King merupakan jenis termahal untuk dinikmati dan menyebabkan ramai peminat raja buah itu mengeluh kerana alah membeli buah kegemaran mereka itu.
Durian Musang King yang mendapat nama dari tempat asalnya di Gua Musang, Kelantan, dijual dengan harga RM30 hingga RM45 sekilogram dan untuk hanya sebiji buah tersebut mampu mencecah harga melebihi RM100.
Menurut peniaga durian di Jalan Raja Alang, Basri Hamid, 54, durian Musang King merupakan jenis paling mahal di pasaran memandangkan ia baru diperkenalkan dan pokoknya tidak banyak ditanam oleh pengusaha-pengusaha dusun buah-buahan.
“Saya jual Musang King pada harga RM30 sekilogram, buah ini selalunya hanya mampu dibeli oleh orang yang berduit sahaja,” katanya yang ditemui digerai jualannya di sini hari ini.
Basri berkata, pada masa sekarang, peniaga-peniaga durian hanya mendapat bekalan dari negeri Johor sahaja dan dijangka musim durian di negeri Pahang serta Perak bakal bermula pada Julai atau Ogos nanti.
Ketika ditanya mengenai harga durian Musang King yang mahal, dia menjelaskan bahawa durian jenis itu agak sukar diperoleh memandangkan pokok-pokoknya baru ditanam beberapa tahun yang lalu setelah diperkenalkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Selain itu katanya, banyak pokok-pokok durian kampung biasa ditebang oleh pengusaha dusun durian dan digantikan dengan pokok jenis Musang King, Udang Merah serta lain-lain jenis yang lebih mendapat permintaan.
Oleh itu, pokok-pokok ini yang masih muda untuk mengeluarkan hasil telah menyebabkan kekurangan durian jenis berkualiti di pasaran dan sekaligus menyebabkan harganya melambung tinggi.
Bagaimanapun, Basri berkata, sekiranya musim durian di Pahang dan Perak berlaku serentak pada Julai atau Ogos ini,dia optimis bahawa harga Musang King akan turun mendadak ke paras RM18 sekilogram sahaja