Misteri gangguan makhluk halus menyerupai hantu Kak Limah
menyelubungi kehidupan satu keluarga di Kampung Temiang, Marang
Terengganu sejak lebih seminggu lalu terungkai apabila seorang ustaz
yang menggunakan kaedah perubatan secara Islam tampil membantu.
Proses pemulihan yang dilakukan Ustaz Nor Hasrul Mohd Hassan dari
Perubatan Syifa Al Ikhlas yang berpangkalan di Serendah, Selangor itu
yang tiba kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, bermula di rumah
pusaka keluarga berkenaan di Jerangau kira-kira jam 4 petang.
Bagaimanapun usaha untuk menghalau makhluk halus di rumah Syaawal
Mazlan di Kampung Temiang, di sini hanya dilakukan kira-kira jam 9
malam berikutan detik itu dikatakan bermulanya kehadiran makhluk
menyerupai hantu Kak Limah itu.
Kak Limah adalah nama watak seorang wanita yang disangka jelmaan
hantu dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mendapat sambutan
hangat di pawagam tahun lalu.
Usaha Sinar Harian untuk tiba ke lokasi berkenaan agak mencabar
berikutan lokasi rumah keluarga terbabit yang agak terpencil, selain
keadaan hujan lebat ditambah jarak rumah agak jauh lain merumitkan lagi
proses mendapatkan maklumat daripada penduduk kampung.
Bagaimanapun, selepas berjaya masuk ke jalan yang bakal
menghubungkan Kampung Temiang melalui laluan Wakaf Tapai-Marang,
kewujudan sebuah warung kopi di tepi jalan dengan kesediaan
pelanggannya yang terdiri daripada penduduk tempatan memberi maklumat
diperlukan, memudahkan usaha untuk menjejaki rumah Syaawal yang menjadi
lokasi liputan bahan berita itu.
Sebaik tiba di lokasi dituju, wartawan Sinar Harian terpaksa pula
meninggalkan kereta di tepi jalan kecil kerana rumah itu terletak agak
jauh di tengah padang.
Dalam keadaan hujan renyai-renyai, perjalanan menuju ke rumah itu
amat mencabar. Terpaksa meredah selut berlumpur selain situasi gelap
yang amat menyeramkan.
Sedia menanti termasuk bapa Syaawal, Mazlan Ali, 55, dan ahli
keluarga terde*kat selain penduduk kampung turut tidak melepaskan
peluang.
Sinar Harian yang tiba ke rumah papan dibina semula daripada
perkayuan rumah pusaka keluarga berkenaan bagaimanapun tiba-tiba
dikejutkan dengan situasi tegang melibatkan adik Syaawal, Mat Ali, 15,
yang secara tiba-tiba menangis, tidak sedarkan diri dipercayai akibat
dirasuk.
Selang beberapa minit kemudian, tatkala ahli keluarga sedang
menenteramkan Mat Ali, kakaknya, Masliana, 31, tiba-tiba dikatakan
terpandang lembaga berambut panjang duduk di alang rumah.
Ustaz Hasrul pada ketika itu berada di rumah berdekatan selepas
menikmati makan malam sebaik dimaklumkan perkara itu, bergegas ke rumah
Syaawal lalu terus memulakan proses menghalau makhluk halus yang
merasuk.
Pada masa itulah, Masli*ana tiba-tiba menunjukkan aksi dan tenaga
luar biasa, membuka pencak silat untuk bertarung dengan Ustaz Hasrul.
Tiada langsung ciri-ciri kewanitaan pada lagaknya, yang kelihatan hanya
langkah pendekar. Namun, biar begitu hebat pun Masliana, mudah sahaja
langkahnya dimatikan Ustaz Hasrul dengan ayat suci al-Quran. Ternyata
yang bersilat itu bukan Masliana sebenar tetapi makhluk halus yang
menguasai tubuhnya.
Bacaan ayat al-Quran selain azan akhirnya berjaya membuat jin yang
menguasai wanita itu terperangkap. Masliana pulih apabila jin terbabit
berjaya dikurung di dalam botol oleh Ustaz Hasrul.
Kena sembelih
Mat Ali dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat dirasuk makhluk
halus dipercayai jin kafir itu sempat berkomunikasi dengan Ustaz Hasrul
sebelum jin itu dimatikan melalui sembelihan leher secara kaedah
kebatinan.
Jin yang merasuk ke dalam tubuh Mat Ali akhirnya berjaya dikeluarkan
selepas hampir setengah jam berhempas pulas dan ia turut dimasukkan ke
dalam botol plastik.
Ustaz Hasrul kemudian menepung tawar katil pusaka dipercayai menjadi punca segala kemelut yang berlaku.
Proses rawatan tidak meng**gunakan sebarang alat lain seperti
kemenyan atau asap yang biasa digunakan bomoh tradisional kecuali air
penawar itu berakhir kira-kira jam 11.15 malam, sebelum penduduk
kampung bersurai setelah kesemuanya berpuas hati dengan kejayaan
rawatan diberikan.
Akhirnya, kehadiran Ustaz Hasrul membantu mengusir makhluk halus
yang mengganggu keluarga tanpa bayaran, berjaya mengembalikan semula
keharmonian hidup keluarga Syaawal.
SUMBER : SINAR HARIAN